Pinta SayangMu Sedetik

Pinta SayangMu Sedetik
Hendak beli PSMS dari direct dari Alina Haizar dan mendapat tandatangan AH sekali dengan harga RM 32 (termasuk bayaran pos bagi Semenanjung) dan RM35 (termasuk bayaran pos bagi Sabah dan Sarawak), sila pm AH utk dapatkan no akaun utk pembayaran atau Whatssaps 0176262577 Jika berminat untuk dapatkan PSMS,  bank in ke No account Maybank: 566010606537 (AHA Publisher) Selepas itu email/sms/whatsapp slip bayaran nama dan alamat penuh...utk tujuan penghantaran...

Cinta Untuk Maximo Bab 1

 

CINTA UNTUK MAXIMO

 

Bab 1

 

DIA lelaki paling kacak yang pernah Damia Zahra lihat seumur hidupnya.  Rasa-rasanya tidak pernah dia menatap wajah setampan itu. Damia pandang lelaki itu tanpa berkelip-kelip matanya. Lelaki itu berjalan dengan begitu segak menghampiri Damia yang sedang menunggu di balai ketibaan KLIA. Lelaki itu memberikan senyuman ke arahnya. Terasa gugur jantung Damia. Pada saat itu, Damia berpendapat bahawa lelaki ini adalah ciptaan Tuhan yang begitu sempurna. Orangnya agak tinggi dan susuk badannya segak. Rambutnya berwarna perang dan berombak, membuatkan Damia ingin melari-larikan jarinya di rambut yang bersisir kemas itu. 

Mesti lelaki ini datang dari negara temperate yang sedang mengalami cuaca sejuk. Dia membawa kot pakaian sejuk di lengannya. Dari mana agaknya lelaki ini? Damia tertanya-tanya sendirian. Makin lelaki itu menghampiri mereka, makin berdebar rasa hati Damia. Macam mana mungkin ini terjadi, kali pertama memandang lelaki itu, Damia tahu dia sudah jatuh hati dengan lelaki itu.

Tidak akan sesiapa yang percaya kalau Damia katakan yang dia dah jatuh cinta dalam sekelip mata. Semua orang yang kenal Damia akan ketawakan Damia. Mesti orang kata ini satu lagi cerita cinta monyet si DZ. DZ yang selalu berangan untuk bertemu dengan Mr Right. DZ yang minat bintang filem itu dan bintang sukan ini, sekejap suka yang ini, besoknya suka yang lain. Tidak ada sesiapa akan percaya kali ini DZ sudah betul-betul jatuh cinta pandang pertama dengan lelaki yang dia baru nampak kurang dari seminit yang lalu.

Lelaki itu berjalan menuju ke arah Damia sambil tersenyum. Damia sudah tidak perasan orang lain di sekelilingnya. Suasana di balai ketibaan begitu sibuk sekali tetapi Damia sudah tidak perasan lagi. Tumpuan Damia hanya pada dia, lelaki kacak yang berjalan ke arahnya.

Bila sudah betul-betul dekat dengan dirinya, memang Damia tidak salah pandang. Wajah lelaki itu memang betul sangat kacak. Matanya begitu biru. Biru yang tidak dapat Damia samakan dengan apa-apa.  Damia dapat rasakan dirinya lemas di dalam kebiruan yang betul-betul memikat hatinya. Hidung lelaki itu pula begitu mancung dan meruncing dan terletak dengan sempurna. Dia mempunyai sepasang mata yang begitu cantik sekali, tidak padan untuk seorang lelaki, berbulu mata lentik, alis matanya tersusun rapi seperti baru disisir. Kelu lidah Damia untuk berkata apa-apa lagi.

Jejaka tampan itu tersenyum gembira sambil memandang ke arah Damia. Tidak disangka-sangka! Nampaknya dia juga seperti Damia, begitu gembira dapat bertemu dengan Damia walaupun inilah pertama kali mereka menatap wajah masing-masing. Damia hanya melopong memandang wajah lelaki tersebut. Mungkinkah lelaki itu juga seperti dirinya, sudah jatuh cinta dengan Damia sebaik sahaja matanya terpandang wajah Damia?  Adakah kisah begini betul-betul terjadi dalam realiti? Dua insan yang pertama kali bertemu, kedua-duanya terus jatuh cinta pandang pertama? Mungkin ini yang dikatakan jodoh ditentukan Tuhan. 

Damia terus hanyut dalam angan-angannya. Mereka berdua akan menjadi pasangan bercinta yang paling hebat di dekad ini, berkahwin dan akan hidup ‘happily ever after’ macam dalam fairytales yang Damia baca sejak kecil lagi. ‘Ohhh what a wonderful life.’ Damia mengelamun sendirian. Prince Charmingnya sudah turun dari istana kayangan dan akan menyunting Damia sebagai permaisurinya. Impiannya selama ini sudah menjadi kenyataan. Lelaki kacak itu berhenti di hadapan Damia. Bibirnya tersenyum. Jantung Damia terus berhenti dari berdegup.

Bukan semua orang dapat mencapai impian mereka begini. Bertemu dengan jejaka idaman hati dan sama-sama jatuh cinta pandang pertama pada masa yang sama.  Damia terus tenggelam dalam impiannya. Berangan jauh sekali.

Hello Nia!

“Maxi! Welcome to Malaysia! DZ, inilah kawan Kak Nia, Maximo.” Tiba-tiba Nia Atirah memperkenalkan lelaki itu kepada Damia. Damia terkebil-kebil memandang wajah Nia. Macam baru tersedar dan kembali ke alam nyata. Nia menggelengkan kepalanya. Berangan tak habis-habis. Mata Damia bersinar dan jauh betul pandangannya.

“Maximo?” Damia masih terkebil-kebil memandang wajah jejaka tampan itu.  Oh! Lelaki itu rupa-rupanya Maximo, tetamu mereka! Damia memandang wajah Nia. Rupa-rupanya senyuman lelaki itu dari tadi ditujukan kepada Nia dan bukan kepadanya.

Maximo masih dengan senyumannya. Tetapi dia tidak memandang ke arah Damia pun. Dia memandang tepat pada Nia tanpa berkelip-kelip matanya. Dia bagaikan terpukau memandang wajah Nia. Wajahnya seperti musafir yang kehausan baru mendapat seteguk air dingin. Wajah orang yang sudah lama kerinduan, kini baru sahaja terubat rindunya itu. Bersinar-sinar matanya memandang Nia. Bukan pandang Damia! Ketika itu juga terbit rasa cemburu Damia. Sifat yang dia tidak sedar dia miliki. Rasa cemburu yang terus naik memuncak hingga ke kepalanya.

Pada Maximo, budak perempuan yang diperkenalkan oleh Nia tidak wujud pun.  Langsung tidak dipedulikan. Dia terus mengambil baby Mia Zara dari dukungan Nia.

This is the bambina?” Soal Maximo sambil mencium pipi Mia Zara.

Nia menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. 

What is her name?

Mia Zara. But we call her Zara.” Jawab Nia.

Maximo terus mengagah-agah Zara. Zara mengekek kegembiraan. Nia tersenyum gembira melihat gelagat Maximo dan Zara.

Where is Hazeril and Mr Zaril?

They were here waiting, but then Hazeril had to go to the washroom.  They will be back soon.

Oh!  I can’t wait to see Hazeril. He must be very big now. How old is he? 6?

Yes. He has grown so tall and will start schooling soon.

Oh really? I can’t wait to see him. And I am so glad to see you.” Mata Maximo yang kebiruan itu menjadi begitu redup bila memandang wajah Nia.

I miss you so much!”  Ujar Maximo lagi, suaranya menjadi gemersik. 

Damia mengeluh dalam diam. Kalaulah apa yang dikatakan oleh Maximo itu ditujukan pada dirinya dan bukan pada Nia, mesti dia akan cair, melimpah di lantai KLIA itu. Damia pandang wajah Nia. Nia hanya tersenyum, tidak ada tanda-tanda yang dia akan cair seperti apa yang dirasakan oleh Damia.  Macam sudah biasa mendengar ucapan seperti itu. Dia hanya tersenyum sahaja.

We miss you too.” Jawab Nia. Gembira sangat dapat bertemu dengan sahabat baiknya itu setelah hampir dua tahun berpisah. Nia memang ternanti-nanti saat ketika Maximo datang ke Malaysia, kini peluang dia pula membalas jasa baik Maximo terhadap dirinya selama dia berada di Itali. Banyak yang Nia ingin tunjukkan kepada Maximo. Nia mengambil semula Zara dari Maximo. Maximo menolak troli yang membawa beg-beg pakaiannya. Mereka sudah mahu bergerak dari balai ketibaan itu.

Maximo! How are you?” Seru Zaril Ikhwan, meluru sambil menghulurkan tangannya ke arah Maximo. Maximo terhenti menolak troli dan mereka berjabat tangan dengan mesra. Nampaknya Zaril juga gembira bertemu dengan Maximo. Tidak ada tanda dia cemburu pun dengan Maximo. Damia sahaja yang rasa cemburu, dia yang hendakkan perhatian Maximo tetapi gagal mendapatkannya sejak tadi. Maximo kemudiannya mendapatkan Hazeril yang sedang berjalan di sebelah Zaril. 

Hazeril! Look at you! You have grown so big now!

Hi, Uncle Maxi.” Ujar Hazeril, masih ingat pada Maximo walaupun dia masih kecil lagi semasa mereka pulang ke Malaysia hampir dua tahun lalu. Hazeril terus memeluk pinggang Maximo. Jelas Hazeril tidak kekok dan mesra dengan Maximo. Setelah melepaskan pelukannya, Hazeril kembali berdiri di sebelah Zaril yang sedang memeluk erat bahu Nia. Zara berada dalam dukungan Nia.

Maximo memandang keluarga kecil yang berdiri di hadapannya itu. Sinar bahagia terpancar di mata mereka. Maximo boleh melihat betapa dalamnya kasih antara mereka berdua, betapa rapatnya hubungan mereka berdua.

‘What a beautiful family.’ Kata Maximo dalam hatinya. Dia tidak dapat menepis perasaan cemburu yang terlintas dalam hatinya. Sepatutnya keluarga bahagia ini menjadi miliknya. Dia yang sepatutnya berada di tempat Zaril. Kalau Zaril tidak datang ke Itali dalam misi kerjasama penyelidikan dulu, mungkin Nia sudah menjadi isterinya dan Hazeril dan Zara menjadi anak-anaknya. Terasa hatinya tertusuk duri yang begitu tajam. Maximo ingat dia sudah pulih dari mencintai Nia, tetapi nyata Nia masih lagi di hatinya. Maximo cepat-cepat mengalihkan pandangannya, sedaya upaya cuba menyembunyikan perasaannya itu.

Maximo, have you met my cousin, DZ or Damia?” Tiba-tiba Zaril bertanya kepada Maximo sambil menunjukkan ke arah Damia.

Maximo cuba sembunyikan perasaannya yang meluap-luap dengan kerinduan terhadap Nia. Malunya rasa hati sekiranya mereka yang di hadapannya itu tahu dia masih mencintai Nia. Maximo alihkan perhatiannya pada gadis yang bertudung di sebelah Nia, lantas cuba memberikan senyuman yang paling manis.   

Hello, Damia. Nice to meet you. I am Maximo.” Kata Maximo kepada Damia, baru dia perasan gadis yang berdiri di sebelah Nia. Sebentar tadi hanya Nia yang dia nampak.

Hi Maximo. I feel like I know you already.  I have heard so much about you from Kak Nia and Abang Zaril.” Jawab Damia, membalas senyuman Maximo. Nia selalu saja menceritakan tentang kebaikan Maximo. Tetapi Nia tidak pernah menceritakan betapa kacaknya Maximo. Kacak sangat sehinggakan pertama kali bertemu, Damia sudah terpikat.

Oh really?” Jawab Maximo, pandang sekilas ke arah Nia kemudian memandang Damia kembali.

Damia terus rasa gugup dengan perhatian yang diberikan oleh Maximo, kemudian setelah jantungnya yang terhenti seketika sudah mula berdenyut kembali, dia memberikan Maximo senyuman manis. “You can call me DZ.” Sambung Damia lagi.

No. I like Damia better. It’s a beautiful name... Damia.” Bila mendengar kata Maximo, Damia rasa macam dia sudah cair, cair macam lilin yang dibakar. Sah! Dia telah menjadi milik Maximo. Tidak dapat Damia melarikan pandangan matanya dari lelaki yang tampan itu. 

Zaril dan Nia melihat sahaja gelagat Damia dan Maximo, kemudian saling berpandangan. ‘Damia sudah buat lagi nampaknya. Jatuh cinta kilat lagi.’ Sudah berapa kali sejak Damia duduk bersama mereka, mereka mendengar cerita Damia jatuh cinta. Pasti selepas ini Damia akan heboh dengan cerita dia jatuh cinta dengan Maximo pulak.

Damia rasa tidak ada yang lebih indah dari senyuman Maximo dan tidak ada lelaki yang begitu menawan selain dari Maximo. Dan ketika itu juga Damia telah membuat keputusan yang paling penting dalam hidupnya yang masih setahun jagung itu.  Keputusan yang akan merubah keseluruhan hidupnya selepas ini. 

Damia akan mendapatkan lelaki itu. Apapun yang berlaku, Damia akan memiliki lelaki bernama Maximo. Bagaimana? Damia tidak tahu tetapi dia akan mencari jalan sehingga Maximo menjadi miliknya yang abadi. Mereka akan hidup bahagia selamanya. Itu azam dan tekad Damia.

 

 

MAXIMO DATANG ke Malaysia bagi mewakili pihak institusi penyelidikan di Itali. Maximo menggantikan rakannya yang telah tamat tempoh bertugas dan dia akan bertugas sebagai koordinator kepada pegawai-pegawai penyelidik dan tenaga pengajar yang bertugas di sini. Maximo juga akan menguruskan hal ehwal tenaga pengajar dan tugasnya yang penting sekali ialah menentukan penukaran teknologi berjalan dengan lancar sepertimana yang termaktub dalam MOU antara konsortium penyelidikan di Malaysia dan institusi penyelidikan di Itali.  

Peluang untuk bertugas di Malaysia amat dinantikan oleh Maximo. Semasa Nia meninggalkan Itali tempoh hari, Maximo ingat dia tidak akan bertemu lagi dengannya. Tetapi alangkah gembiranya apabila dia mendapat berita yang dia terpilih untuk bertugas di Malaysia. Tidak sabar rasanya Maximo untuk menjejakkan kakinya ke Malaysia dan bertemu semula dengan Nia. Nia juga sangat gembira dengan kedatangan Maximo. Tidak sabar rasanya Nia menerima kedatangan sahabat baiknya itu. Kini masa untuk Nia menjadi hos yang terbaik untuk tetamu yang istimewa itu.

Urusan ketibaan dan penginapan Maximo sepatutnya dikendalikan oleh pihak institusi penyelidikan tetapi Nia mahu menyambut Maximo sendiri. Nia nak Maximo menjadi tetamu mereka dulu sebelum dia mula bertugas. Mahu membuat Maximo rasa selesa.

I want to show him our Malaysian hospitality. Make him feel at home. Bolehkan, abang?”

“Ikut suka sayanglah. I know you miss your friend dan abang juga tahu sayang rasa banyak terhutang budi dengan dia. Bukan?” Soal Zaril sambil tersenyum. Tercuit hatinya melihat Nia yang begitu teruja. Maximo banyak membantu Nia semasa Nia berada di Itali. Malah Zaril juga rasa terhutang budi dengan Maximo. Kerana Maximo jugalah dia mendapat kembali isterinya yang tercinta. 

Nia sibuk beberapa hari sebelum ini dengan membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Maximo. Damia yang tinggal bersama Nia dan Zaril juga diheret sama membuat persediaan bagi menyambut kedatangan Maximo. 

‘Kerahan tenaga percuma!’ Sungut Damia ketika itu. Dia geram kerana aktiviti tidurnya terganggu dan terpaksa membantu Nia buat macam-macam. Timbul hairan Damia melihat Nia yang begitu teruja dengan kedatangan sahabat baiknya itu.

‘Maximo…’ Damia bersungut sendirian sambil mencebirkan bibirnya. Dari namanya Damia membayangkan seorang berbangsa Itali yang gemuk, pendek dan kepala separuh botak. Sebab itulah agaknya Abang Zaril tidak kisah bila Nia sungguh teruja. Bukan saingan agaknya. Tidak rasa tergugat langsung pun. Lagipun Abang Zaril kacak sungguh orangnya. Damia pun dulu peminat Abang Zaril. Abang Zaril seperti seorang hero kepada Damia yang masih kanak-kanak ketika itu. Malah dia sangat sayangkan abang sepupunya itu dan pernah berangan yang dia bercinta dengan Abang Zaril. Masa itu Zaril belum lagi ditimpa kemalangan dan masih belum berkahwin dengan Nia. 

Nia juga sibuk mengemaskan apartmen yang akan diduduki oleh Maximo. Terletak di Kondominium Seri Maya, Ampang, ianya berdekatan dengan stesen LRT dan berhampiran dengan KLCC. Sehari suntuk Nia dan Damia membersihkan apartmen tersebut dan memastikan semua kelengkapan mencukupi termasuk membeli bekalan makanan basah dan kering.

“Cukuplah makanan ni untuk seminggu. Nanti-nanti pandailah dia cari mana nak beli barang-barang ini nanti. Dia boleh beli sendiri.” Kata Nia, tersenyum puas melihat peti ais yang sudah penuh dengan makanan.

“Ini bukan setakat cukup seminggu. Cukup makan setahun, Kak Nia. Pandailah kawan Kak Nia tu hendak uruskan diri dia sendiri nanti.” Ujar Damia.

Damia berpendapat cara Nia sibukkan hal Maximo agak over. Semua Nia kena sediakan. Yang buat sakit hatinya, dia pun diseret sama. Geram betul Damia dengan semua ini. Dia hanya mahu balik ke rumah, masuk dalam bilik, layan YouTube, Facebook, WhatsApps atau mendengar lagu. Malasnya dia bersusah-payah untuk orang yang dia tidak kenal. 

Yang Damia lagi bengang, pagi-pagi lagi dia dikerah bangun pada hari cuti am ini untuk pergi ke KLIA. Mana ada orang bangun pagi-pagi begini? Pada hal Damia datang ke rumah Nia bertujuan untuk berehat setelah penat mengulangkaji untuk peperiksaan akhirnya. Damia sudah merancang mahu tidur sampai tengahari. Cemberutlah wajah Damia.

Tetapi semua perasaan geram, bengang, malas, jemu itu hilang dengan sekelip mata sahaja selepas bertemu dengan Maximo. Patutlah Nia beriya-iya memastikan semuanya dalam keadaan baik untuk menyambut kedatangan Maximo. Hati Damia tertanya-tanya, entah-entah Nia juga ada hati dengan Maximo. Takkan mereka hanya berkawan sahaja.  Kenapa Nia begitu teruja dengan kedatangan Maximo ke Malaysia?  Tetapi Nia tidak patut rasa begitu.  Dia sudah ada Abang Zaril. Macam mana dengan Maximo pula? Macam suka sangat dengan Nia. Tiba-tiba macam-macam yang dia fikirkan. Perasaan cemburu mula menguasai hati Damia. Belum pernah dia mengalami perasaan cemburu sebegini.    

Damia mesti dapatkan Maximo. Dia tidak punya banyak masa lagi. Dia hanya ada beberapa bulan lagi sebelum dia berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajarannya. Damia mesti dapatkan Maximo.


 


0 comments: