Pinta SayangMu Sedetik

Pinta SayangMu Sedetik
Hendak beli PSMS dari direct dari Alina Haizar dan mendapat tandatangan AH sekali dengan harga RM 32 (termasuk bayaran pos bagi Semenanjung) dan RM35 (termasuk bayaran pos bagi Sabah dan Sarawak), sila pm AH utk dapatkan no akaun utk pembayaran atau Whatssaps 0176262577 Jika berminat untuk dapatkan PSMS,  bank in ke No account Maybank: 566010606537 (AHA Publisher) Selepas itu email/sms/whatsapp slip bayaran nama dan alamat penuh...utk tujuan penghantaran...

Aku Yang Kau Tinggalkan 3

Bab 3

“Ani tak dapat lakukannya, tolonglah Kak Nia, Tolonglah Ani tak boleh lakukan semua ini. Ani sayangkankan Sazali. Ani tak hendak hendak kawin dengan orang lain.”

Petang ini terasa begitu panas sekali. Musim kemarau sedang melanda bahagian Utara Malaysia. Matahari memancar dengan terik sekali sepanjang hari dan sudah berminggu-minggu kawasan ini tidak ditimpa hujan. Mereka yang duduk di sini sudah biasa keadaan keadaan panas melampau ini. Tetapi panas petang kali ini bagaikan naik ke kepala Nia. Tiba-tiba sahaja Nia Atirah kepalanyanya pening. Nia Atirah terkebil-kebil mata Nia memandang Ani, mula-mula dia ingat dia tersalah dengar perkataan yang terkeluar dari mulut Ani.

“Ani…. apa Ani cakap ni?”Soal Nia, kepalanya rasa berdenyut-denyut.

“Ani tak sangguplah Kak Nia. Ani ingat Ani boleh lakukan, Ani ingat Ani kawin dengan Zaril Ikhwan. Tetapi sekarang Ani tahu, Ani sebenarnya tidak sanggup, tak bolehlah Kak Nia. Ani sayangkan Sazali. Ani hendak kawin dengan dia.” Rayu Ani sambil memegang kedua belah bahu Nia dan mengoncang-goncangnya dengan cemas.

Nia Atirah seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Selama ini Nia ingat gembira apabila di pinang orang. Bila Nia balik cuti hujung minggu dua bulan yang lalu, Ani kelihatan tenang sahaja melihat emak dan jiran-jiran membuat persiapan untuk hari perkahwinannya itu. Tidak dia sangka sebenarnya Ani menyimpan perasaan sebegini rupa dalam menghadapi hari di mana dia akan dinikahkan dengan Zaril Ikhwan. Lebih terkejut lagi, bila Ani mengaku yang dia menyayangi orang lain, Sazali! Dia hendak mengahwini Sazali!

“Sazali?” Nia terbayang wajah pemuda berkulit sawo matang, berambut kerinting yang bekerja sebagai peraih hasil-hasil tanaman penduduk kampong. Sazali selalu singgah di kebun mereka dengan lorinya untuk membeli hasil tanaman seperti pisang, ubi kayu, nenas dan juga buah-buahan. Ani yang selalunya menguruskan penjualan hasil-hasil tanaman kebun mereka. Nia tidak sangka pertemuan-pertemuan itu telah menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka.

“Apa yang akan terjadi kali ini? Hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum hari kenduri. Sekarang baru Ani memprotes tentang perkahwinannya dengan Zaril Ikhwan, cucu Puan Zainun. Semua persiapan sudah siap, cuma menunggu harinya sahaja. Nia baru sahaja pulang dari kampus, setelah selesai peperiksaan akhirnya. Seronok betul rasa hatinya bila mengetahui Ani akan berkahwin. Lega rasanya bila mengetahui ada orang yang akan menjaga adiknya itu. Selama ini Nia risaukan tentang apa akan berlaku ke atas adiknya itu nanti. Ani satu-satunya adik perempuan Nia. Ani tidak habis belajar. Dia menamatkan pengajiannya sehingga tingkatan tiga sahaja. Sebaik sahaja tamat tingkatan tiga dia minta untuk berhenti sekolah. Dia tidak mahu sambung belajar ke tingkatan empat lagi. Menurutnya dia tidak dapat memahami apa yang dipelajarinya. Betul pun kata Ani, bila keluar keputusan PMRnya, nyata dia memang gagal teruk.

“Biarlah kakak dan adik-adik yang belajar. Ani boleh tolong emak di rumah.”

Itulah kata-kata Ani bila dia minta untuk berhenti sekolah. Ani memang agak lembap sedikit dalam bidang akademik, bukan seperti adik beradiknya yang lain. Sehingga darjah tiga pun dia masih belum dapat membaca dan menulis dengan baik. Nia teringat bagaimana dia bertungkus lumus mengajar Ani untuk membaca, kadang-kala Nia menggunakan berbagai cara untuk memujuk Ani agar dapat menumpukan perhatiannya untuk membaca. Nasib baik sekarang ini Ani sudah dapat membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia. Dia juga telah mengambil masa yang lebih lama untuk khatam mengaji Quran berbanding dengan adiknya. Tetapi untuk Ani menguasai pelajaan lain seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris seperti budak-budak yang sebaya dengannya nampaknya sesuatu yang amat sukar. Mungkin kerana dia tidak ada minat dalam bidang akademik.

Akhirnya mereka terpaksa akur dengan kehendak Ani untuk berhenti belajar. Sehingga sekarang setelah empat tahun berlalu, Ani duduk sahaja di rumah, menolong emak dengan kerja rumah dan di kebun. Dia juga bekerja dengan Nyonya Tan, mengutip telur ayam di ladang ternakan ayam yang terletak di hujung kampong. Walaupun Ani ada kekurangan dari segi akademik tetapi dia diberi kelebihan dari segi kemahiran tangan. Dia cekap membuat kerja rumah, menjahit dan memasak makanan. Memang tidak disangkal, Ani banyak meringan beban emak di rumah.

Nia Atirah sebenar nya agak terkejut bila emaknya memberitahu bahawa Ani akan dikahwinkan dengan cucu Puan Zainun dari Bandar. Setahu Nia, Ani tidak kenal pun cucu Puan Zainun itu. Mereka duduk di kampung, macamana cucu Puan Zainun dari Bandar boleh memilih Ani sebagai calon isterinya? Puan Zainun seorang janda kaya di kampong mereka. Dia mempunyai berelung-relung tanah sawah dan kebun dikampung ini. Di samping itu anak-anaknya merupakan ahli-ahli perniagaan yang berjaya dan pegawai-pegawai berjawatan besar di Kuala Lumpur. Beruntung betul Ani. Itulah yang apa yang Nia Atirah rasakan bila emak memberitahunya bahawa Ani telah dipinang oleh Puan Zainun. Walaupun dia duduk terperap di hujung kampong, ada juga orang Bandar yang berkenan dengan dia. Sesungguhnya kalau jodoh sememangnya tidak ke mana. Nia Atirah sungguh rasa bersyukur dengan apa yang berlaku. Ada orang yang sudi mengambil adiknya yang tidak berpelajaran itu sebagai isteri. Orang berada dari Bandar pulak tu.

Tidak menghairankan ada orang yang terpikat dengan Ani. Ani dikurniakan Illahi dengan wajah yang cantik dan bentuk tubuh langsing yang menawan. Ani banyak menwarisi iras wajah Mak Cik Rosnah. Kadang-kala Nia rasa begitu iri dengan kecantikan yang Ani miliki, kenapa dia tidak lebih mirip dengan wajah emak dan Ani. Tubuh Nia terlalu kurus, tidak mempunyai susuk yang menawan seperti Ani. Nia Atirah selau rasakan dia tidak memiliki kecantikan yang dimiliki oleh Ani. Ingin dia miliki hidung mancung dan meruncing di hujung macam Ani dan emak. Wajah mereka yang bujur sirih, mata yang besar dan galak. Rambut yang hitam menawan. Semua ciri-ciri yang tidak ada pada Nia. Pada Nia, wajahnya tidak ada yang istimewa seperti wajah Ani. Wajahnya biasa sahaja. Bagaimanapun Nia tetap bersyukur, kerana walaupun tidak dikurniakan segala kecantikan yang dimiliki Ani, Nia dikurniakan dengan otak yang pintar dan kini dia telah berjaya memegang segulung ijazah. Selepas semua ini dia boleh mendapatkan kerja, berdikari dan juga boleh membantu emak dan adik-adiknya. Allah tetap adil dengan semua hambanya, mesti ada rahmat di semua yang terjadi.

Bagi nasib diri Ani, Nia tetap gembira yang ada orang yang berkenan dengan Ani dan akan mengahwininya. Semoga masa depannya akan lebih terjamin selepas ini. Tetapi rasa gembira itu rupanya tidak kekal lama. Sebaik sahaja Nia sampai ke kampong, Ani mengajak dia masuk ke dalam bilik tidur mereka dan terus merayu-rayu dengan Nia, minta dia dilepaskan dari ikatan ini. Dia tidak sanggup membuat pengorbanan untuk mereka semua.

“Ani tidak boleh buat pengorbanan ini demi untuk semua orang. Ani tidak sanggup.” Ani terus merayu-rayu, meminta tolong dengan Nia Atirah. Bingung Nia Atirah dibuatnya.

“Apa maksud Ani? Pengorbanan apa yang Ani sebutkan ini? Kak Nia tak faham. Bukankah Ani suka bila Zaril Ikhwan meminang Ani? Emak kata Ani suka betul, dipinang oleh anak orang kaya. Emak pun suka. Kak Nia tak faham kenapa jadi begini? Ani berubah hati ke?”

“Kak Nia memang tak faham. Ani memang tidak mahu menerima pinangan Zaril Ikhwan tetapi emak yang paksa Ani. Ani kena korbankan diri untuk Kak Nia dan adik-adik.”

“Kak Nia tak faham, pengorbanan apa yang Ani yang cakapkan ini. Bukankah ini semua untuk Ani, nasib baik dipinang oleh anak orang kaya adalah untuk Ani, bukan untuk kami. Kami cuma tumpang gembira.

“Kak dan adik tak tahu! Hidup kami di sini makin susah. Emak tak bagi Ani beritahu kakak apa yang berlaku. Emak tidak mahu ganggu Kak Nia belajar. Begitu juga dengan Shahid dan Shafiq.”

Shahid ialah seorang lagi adik Nia, masih lagi belajar di Universiti. Dia pelajar tahun dua dia Universiti Teknologi Malaysia. Manakala Shafiq pula ialah pelajar tingkatan lima. Seperti Nia mereka ke kampong untuk bercuti.

“Ani kena korban diri untuk kami semua? Akak tak faham lah Ani. Cuba terangkan apa semua ini.”

“Kak tak tahu ayah banyak hutang. Dia masih lagi buat perangai lama dia masa kita duduk di Bandar.”

“Berjudi?”

“Apa lagi! Bila duduk dikampung ni dia jadi lagi teruk, berjudi, dengan masalah perempuan , dan membuat hutang yang banyak.”

Nia mengelengkan kepalanya, jika bukan kerana emak, hidup mereka mesti susah. Selama ini emak yang bekerja keras di kebun dan menoreh getah, akhir-akhir ini dia dibantu oleh Ani. Ani banyak meringan bebanan emak. Tetapi ayah bukan hendak membantu emak, lebih banyak mendatangkan masalah kepada mereka sekeluarga.

Semasa Nia kecil hidup mereka tidak susah begini. Ayah kerja di alah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, ketika itu mereka hidup senang, mempunyai kereta dan duduk menyewa disebuah rumah yang selesa. Hidup mereka sekeluarga bahagia ketika sehinggalah emak mengandung adik Nia yang bungsu, Syafiq. Ayah tiba-tiba berubah bila dia terpikat dengan seorang janda yang bekerja di kelab malam, ayah mula banyak menghabiskan wang untuk wanita tersebut. Kemudian dia mula berhutang. Apabila hutangnya sudah terlampau banyak dia mula berjudi, ingin mendapatkan wang segera tetapi nyata dia banyak hilang wang dan lebih banyak beban hutang. Akhirnya perempuan yang digilainya meninggalkannya kerana dia sudah tidak berwang dan berhutang keliling pinggang.

Ketika itu baru ayah ingatkan keluarganya. Emak masih bersabar menunggu ayah berubah. Tetapi malangnya Abah dibuang kerja kerana selalu ponteng. Kereta mereka ditarik dan mereka telah diarah untuk keluar dari rumah sewaan kerana sudah berbulan-bulan tidak membayar sewa. Oleh kerana sudah tidak ada jalan lain, emak cadangkan mereka semua balik kampong. Mengajak ayah mulakan hidup baru dikampong. Di kampong ayah, masih ada tanah kebun dan kebun getah tingalan nenek. Emak hendak usahakan tanah kebun.

Tetapi malangnya ayah tidak berubah, dia masih lagi dengan perangai buruknya. Dia tidak rajin berusaha untuk mencari rezeki. Menurutnya dia tidak biasa kerja kampong, dia biasa kerja di pejabat. Emak juga terpaksa mengambil upah mengerjakan bendang dan mengusahakan tanah kebun hasil peninggalan nenek. Semua ibu lakukan supaya dapat wang untuk menyekolahkan anak-anaknya. Nasib baik mereka semua kecuali Ani, mereka tiga beradik dapat bantuan penuh kerajaan dan bersekolah di sekolah berasrama. Nia juga dapat masuk universiti dengan mendapat bantuan biasiswa penuh begitu juga dengan Shahid. Bila Nia tanyakan emak tentang duit, emak selalu kata yang dia ada duit simpanan, Nia tidak perlu risau. Nia, Shahid dan Shafiq hanya perlu perlu tumpukan perhatian terhadap pelajaran dan jangan risau tentang duit.

Sekarang baru Ani beritahu Nia yang mereka ada selama ini masalah kewangan yang teruk.

“Tanah tapak rumah dan tanah kebun, Ayah telah gadaikan, Kak Nia.”

“Ya Allah!” Bila? Kenapa Ani tak cakap.”

“Emak tak bagi cakap. Emak kata jangan ganggu Kak Nia, Kak Nia sedang dalam semester akhir. Emak suruh Ani sabar. Nanti bila Kak Nia habis belajar, Kak Nia akan kerja dan tanggung kami semua. Kak Nia akan kurangkan beban yang emak dan Ani tanggung sekarang ini.”

“Sepatutnya Ani cakap juga dengan kak Nia. Emak tak boleh rahsiakan semua ini. “

Semuanya emak lakukan untuk kau orang. Ani kena korbankan semuanya untuk Kak Nia, abang Shahid dan adik.”

“Apa yang Ani kena korbankan ini. Bukankah baik Ani dapat kahwin dengan cucu Puan Zainun? Dapat duduk di rumah besar dan mewah. Seingat Kak Nia, anak-anak Puan Zainun, segak-segak orangnya, Kak Nia rasa cucu-cucu mereka pun rupanya elok-elok belaka.”

“Ini bukan soal kemewahan atau cantik atau buruknya orang itu. Ini soal masa depan dan soal hati. Ani tidak cintakan Zaril Ikhwan. Ani dan Sazali sudah berjanji akan sehidup semati.”

“Sazali bukan ada pekerjaan tetap Ani, lori yang dibawa tu pun bapa dia yang punya. Ani boleh senang ke hidup dengan Sazali? Kalau Ani kawin dengan Zaril Ikhwan, kemewahan sudah menanti Ani. Ani juga boleh tolong emak nanti.” Pujuk Kak Nia.

“Ani tidak sanggup Kak Nia. Ani ingat Ani boleh lakukan tetapi Ani tidak sanggup.”

“Hmmm…. Kalau macam tu kenapa Ani tak cakap sahaja dengan emak. Emak tidak akan paksa Ani. Emak buat ini semua untuk kebaikan Ani, untuk masa depan Ani, bukan hendak menyusahkan Ani. Bayangkan anak orang kaya berkenan dengan Ani. Mesti emak suka anaknya akan hidup senang.” Kata Nia juga berbincang dengan Ani.

“Kakak tak tahu, Kakak tak tahu…..” Kata Ani dengan penuh sedu sedan. “Zaril Ikhwan bukannya berkenan dengan Ani. Ini semua permintaan Puan Zainun, dia hendak carikan seorang perempuan yang boleh menjaga cucunya itu.”

“Hah? Apa maksud Ani.?”

“Emak paksa Ani suruh kahwin dengan Zaril Ikhwan sebab hendak dapat duit. Puan Zainun minta emak kahwinkan dengan Ani, jika emak setuju Puan Zainun akan beri duit pada emak. Emak hendak tebus balik tanah kita yang ayah gadaikan. Kalau emak tak dapat duit tu, kita kena pindah dari sini cukup bulan ni. Mana kita hendak pergi? ”

“Hah!” Nia sungguh terkejut.?

“Bukan Zaril Ikhwan berkenan dengan Ani, Puan Zainun yang pilih Ani. Dia kata Ani ada semua yang dia hendakkan untuk Zaril Ikhwan.”

“Betullah tu. Ani cantik, rajin, pandai mengurus rumah tangga, pandai memasak, rajin berkebun dan bercucuk tanam. Suami mana yang tidak beruntung mendapat Ani.”

“Bukan itu yang dia cari, dia cari gadis yang tidak berpelajaran, tidak bekerja, tidak ada cita-cita tinggi, dia mahu carikan seorang isteri semata-mata untuk menjaga Zaril Ikhwan.”

“Haaaah? Kenapa dia hendak isteri untuk jaga Zaril Ikhwan. Cari orang gaji ajelah macam tu. Kak Nia peliklah…….. apa yang sebenarnya berlaku di sini…………….” Belum sempat Nia Atirah bertanya lagi. Kedengaran emak memanggil mereka dari luar bilik.

“Nia, Ani mari kita makan. Apa buat dalam bilik tu? Duduk berkurung dalam bilik pula! Dua anak dara ni!” Garang pula bunyi suara emak.

“Kak mari kita keluar, kakak jangan cakap apa-apa dengan emak.”Kata Ani dengan perlahan. Takut emak yang di luar bilik dapat mendengarnya.

“Ani, Kak Nia rasa, baik kita bincang baik-baik dulu. Semua persiapan sudah dibuat. Nanti susah emak. Ani cuba fikir baik-baik apa yang Ani katakan tadi. Mungkin Ani rasa gemuruh hendak jadi pengantin?” Pujuk Nia Atirah lalu membuka pintu bilik dan keluar dari situ. Ani memandang sahaja kakaknya yang keluar dari situ, harapannya ialah untuk mendapat sokongan dari Nia Atirah. Mereka tidak sempat berbual panjang. Wajahnya nampak sugul. Tetapi dia menyusul Nia Atirah dari belakang. Takut di marahi emak jika dia lambat ke dapur.

Nia Atirah segera menyertai emak di dapur. Dia tidak mahu emak berleter panjang-panjang nanti. Emak menjadi begitu kerana terpaksa. Hidupnya bersama ayah begitu susah. Dia yang terpaksa memikul semua tanggungjawab dalam rumah ini. Tetapi emak bercita-cita tinggi, dalam susah payahnya itu, dia berjaya menyekolahkan anak-anaknya sehingga ke peringkat yang paling tinggi. Oleh emak memang sentiasa bersiakp tegas dengan anak-anaknya. Emak bersikap begitu demi kebaikan mereka semua. Emak hendak mereka semua berjaya dalam hidup. Hidup emak begitu susah sekali. Dia tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib yang sama. Walaupun hidupnya susah, Emak begitu cekal menghadapi semua ini. Dia tidak pernah kenal penat lelah membanting tulang setiap hari untuk membesarkan anak-anaknya. Sepatutnya hidup emak lebih senang sekarang kerana anak-anak yang belajar semuanya telah mendapat bantuan kerajaan. Kini Nia Atirah sudah tamat pengajian dan apabila dapat kerja boleh membantu emak. Keadaan hidup mereka akan menjadi bertambah baik.

Tetapi lain pula keadaan yang sebenarnya. Rupa-rupanya segala penat jerih emak selama ini tidak dihargai ayah langsung. Bukannya dia hendak membantu emak, Ayah cuma tahu menghabiskan duit yang emak cari selama ini. Tidak cukup dengan itu tanah tapak rumah dan kebun juga telah ayah gadaikan untuk mendapat wang supaya dia boleh berjudi dan berpoya-poya dengan wanita di Pekan. Geram betul rasa hati Nia Atirah bila dapat tahu tentang apa yang ayah telah lakukan. Sia-sia sahaja usaha emak selama ini. Kini mereka hampir kehilangan tempat tinggal dan sumber mata pencarian mereka oleh kerana perbuatan abah yang tidak bertanggung jawab.

Mereka duduk mengeliling meja makan. Ani sibuk menghidang makanan. Emak masak masakan kesukaan anak-anaknya, menyambut Nia dan adik-adiknya balik. Bukan selalu mereka boleh berkumpul bersama begini. Cuma ayah yang tidak ada bersama. Mungkin lebih baik begitu. Kehadiran ayah akan menyuramkan suasana gembira mereka. Shahid dan Syafiq nampak tidak sabar hendak menjamah makanan yang hidang. Masakan di hostel mana boleh tanding masakan emak.

Nia memandang wajah adik-adik yang ceria sedang menikmati makanan tengahari. Emak juga nampak begitu gembira sekali, dapat melihat mereka berkumpul bersama. Cuma Ani sahaja yang nampak sugul. Nia akan cuba memujuknya lagi nanti. Banyak lagi perkara yang Nia ingin tanya pada Ani. Kalau boleh Nia ingin mendapat penjelasan emak sekali. Tetapi Ani melarang Nia bercakap apa-apa dengan emak lagi. Nia akan bertanya dengan emak juga, dia akan tunggu beberapa hari lagi. Lagipun dia baharu sahaja pulang dari kampus. Dia ada banyak masa lagi untuk berbincang dengan emak.

“Ani, lepas ni pergi ke kebun, emak sudah janji dengan Pak Cik Deris, dia akan datang hendak ambil pisang. Pagi tadi emak dan Shahid sudah tebang pisang dan kumpul di tepi kebun.” Kata emak sebaik sahaja mereka semua habis makan.

“Baiklah emak.” Jawab Ani.

“Boleh beli barang untuk kenduri tu sikit dengan duit tu nanti. Emak cadang hendak buat juga kenduri sikit, walaupun Puan Zainun kata tak perlu buat.” Kata emak emak lagi.

Keruh muka Ani bila emak menyebut tentang kendurinya itu. Kesian Nia Atirah melihat wajah yang sugul itu.

“Biar Kak Nia teman Ani pergi kebun nanti ye.” Nia pelawa diri untuk meneman Ani ke kebun.

“Tak pelah Kak Nia. Kakak baru sahaja balik sini. Mesti penatkan. Kakak rehatlah dulu.”

“Iyelah Nia, rehat dulu. Sudahlah penat belajar, balik-balik ni nak pergi kebun pulak. Biarlah Ani pergi sorang, bukan hendak buat apa, hendak ambil duit dari Pak Deris saja. Besok-besoklah Nia pergi. “ Sampuk emak. Nia lihat muka Ani agak berubah, Ani terkilan agaknya, emak macam lebihkan Nia.

“Tak pelah emak, kesian Ani, penat dia kerja seharian.”

“Apa hendak penat, duduk di rumah aje. Kalau tidak pun dia hendak buat apa.” Jawab emak, suaranya kian meninggi.

“Tak pe Kak Nia, tak pe. Bukan Ani nak buat ape pun, hendak ambil duit je dari Saza….Ops..Pak Deris.”Kata Ani dengan cepat sekali. “Ani hendak pergi sembahyang zohor dulu. Kejap lagi Ani pergi.” Ani terus menghilangkan dirinya ke atas rumah..

Tinggal Nia dan emaknya di dalam dapur. Emak sedang mengupas pisang abu dan dipotong-potongnya pisang itu ke dalam periuk.

“Emak hendak buat ape dengan pisang tu?” soal Nia.

“Emak hendak buat pengat pisang. Niakan suka makan pengat pisang.”Jawab emak.

“Suka emak. Nia rindu dengan pengat pisang emak.” Jawab Nia sambil tersenyum.

“Emak tahu Nia suka. Itu sebab emak buat ni.”

“Emak, ceritalah sikit pasal bakal menantu emak ni.” Tanya Nia.

“Apa yang hendak diceritakan. Puan Zainun tu merisik Ani untuk cucunya Zaril Ikhwan. Emak terimalah. Terjamin masa depan Ani tu nanti. Ani bukan macam Nia, berpelajaran tinggi. Boleh dapat pekerjaan yang baik-baik. Boleh uruskan diri sendiri. Entah-entah di Universiti tu pun Nia sudah ada kawan.” Emak cuba mengorek rahsia dari Nia. Nia hanya tersenyum, terbayang wajah Farid, rakan sepengajiannya dikampus yang beriya-riya hendak menjadikan Nia Atirah teman hidupnya. Memang betul tekaan emak. Tetapi bukan masanya untuk Nia memberitahu emak tentang Farid. Kali ini adalah masa untuk Ani, biarlah Ani lepas dahulu. Setelah selesai pernikahan Ani nanti, Nia hendak mencari kerja. Setelah itu barulah boleh dia memberitahu tentang Farid.

“Sementara emak masih hidup ni tak pelah. Kalau emak mati nanti, siapa hendak jaga dia. Emak tidak risau sangat pasal Nia, Shahid dan Shafiq. Emak risau pasal dia. Apa hendak jadi pada dia nanti? Ayah, bukan Nia tak tahu perangai dia.”

“Kenapa cakap macam tu emak. Tidak ada apa-apa yang akanterjadi pada emak.”

“Betul, Apa yang emak cakap ni. Ini adalah yang terbaik untuk Ani.”

“Bayangkan cucu Puan Zainun tu orang berada. Ani akan hidup senang, tak perlu lagi dia membanting tulang berkebun sampai hitam legam, lepas tu teruk-teruk buat kerja rumah. Senang hidup dia nanti, dia Cuma jaga suami dia sahaja.”

“Tapi hati dia macamana emak? Entah-entah dia ada pilihan hati yang lain.”

“Hah! Pilihan hati dia sendiri!”

“Iyelah, sekarang ini orang kawin sebab cinta, mana ada orang kawin kerana pilihan keluarga dah sekarang ni.”

“Cinta! Nia tengok emak ni! Cinta? Sebab cintalah emak kawin dengan ayah Nia. Cintalah ni! Cinta sahaja tak cukup Nia! Cinta konon… tak boleh bagi makan anak-anak. Emak tak mahu anak-anak emak menerima nasib yang sama. Nia tengok tak macamana susahnya hidup kita semua!” Nia terdiam.

“Ani ada cakap apa-apa ke dengan Nia? Dia tak mahu kawin dengan Zaril Ikhwan ke? Tanya emak, wajahnya Nampak risau.

“Adalah sikit-sikit dia cakap. Mungkin dia rasa risau kot, maklumlah Cuma tinggal sebulan sahaja lagi.”

“Nia… Nia kena pujuk dia. Jangan sampai tak jadi. Malu emak nanti. Kalau awal-awal dulu tak pe. Ni sudah terlambat, semuanya sudah siap. Di rumah Puan Zainun, persiapan perkawinan sudah dibuat. Takkan tak jadi. Susah emak nanti.”

“Tulah emak, emak tak tanya betul-betul dengan dia. Sekarang kalau dia betul-betul tak mahu macamana?”

Emak memegang tangan Nia, wajahnya semakin cemas.

“Tak boleh Nia, Nia kena pujuk dia Nia. Susah kita nanti Nia.”

“Susah! Susah macamana emak? Takkanlah kita hendak paksa Ani kalau dia tak mahu kawin?”

“Emak sudah ambil duit Puan Zainun. Nia tak tahu nak, tanah kita semua ayah sudah gadaikan. Kalau kita tidak langsaikan gadaian tu, kita tak ada tempat tinggal lagi Nia.” Kata emak, air mata mula tergenang di matanya.

“Kita pulangkan duit tu balik. Kita cari jalan lain emak.”

“Duit tu dah tak ada, emak sudah sudah tebus balik tanah kita ni. Kalau emak tak buat macam tu. Kita tak ada tempat hendak tinggal Nia.” Kata emak sambil menangis tersedu-sedu. Nasibnya sentiasa di rundung malang, sepanjang hidupnya dia sudah penant membanting tulang, hendak mengelak anak-anaknya dari merempat, hendak memberikan mereka rumah untuk berlindung, makanan untuk mengisi perut dan pelajaran untuk menjamin masa depan mereka, tetapi setiap usahanya akan di punahkan oleh perbuatan suaminya. Sampai bila dia harus bersabar dengan semua keadaan ini pun emak tidak pasti.

“Emak jangan menangis.” Cemas Nia melihat emaknya menangis. Selama ini dia jarang melihat emaknya menangis. Segala kesusahan yang datang menimpa, emak akan hadapi dengan begitu cekal sekali. Tapi kali ini dia Nampak macam berputus asa.

“Nia kena cuba pujuk Ani, jangan sampai tak jadi perkahwinan ini. Kalau tidak, emak tak tahu apa akan jadi dengan kita.”

“Kenapa emak sahaja yang mesti susah dalam hal ini. Sepatutnya ayah yang selesaikan masalah yang dia datangkan ini. Ayah di mana emak?”

Emak terdiam mendengar kata-kata Nia. Sudah sminggu hari ayah tidak pulang rumah. Emak sudah tidak tahu apa hendak jadi dengan ayah. Emak sudah lali dengan semua perbuatan buruk ayah. Yang penting sekarang ini emak harus melangsungkan perkahwinan Ani. Dengan ini rumah dan kebun mereka dapat diselamatkan. Dia dan anak-anaknya masih ada tempat berlindung dan mencari makan. Bila Nia sudah dapat perkerjaan nanti, bolehlah Nia membantu mereka anak beranak.

“Nia, apa pun Nia tolong pujuk Ani.”

“Nia hanya boleh cuba emak. Tetapi kalau dia berkeras macamana?”

“Emak terdiam. Wajahnya kembali cemas. Kasihan Nia melihat wajah ibunya itu.

“Tak apalah emak. Bila dia balik nanti Nia akan pujuk dia.”

****************************************
Nia menunggu Ani pulang dari kebun, ingin dia berbual panjang dengan Ani. Mungkin dia akan berjaya memujuk Ani jika mereka berbincang dengan betul-betul, setelah kebaikan dan keburukan dari tindakan Ani itu.

Menjelang senja, Ani masih tidak muncul-muncul lagi. Nia semakin resah. Sepatutnya sekejap sahaja Ani pergi ke kebun tadi. Emak juga nampak gelisah. Emak suruh Shahid dan Shafiq menuruti Ani ke kebun. Tidak lama kemudian mereka pulang ke rumah, tanpa Ani bersamanya. Laungan Azan maghrib berkumandang, langit semakin kelam. Nia rasa tidak sedap hati, dia mula mengesyaki sesuatu. Tetapi tidak mungkin Ani tergamak melakukannya. Nia masuk ke dalam bilik tidur mereka. Dibukanya almari baju Ani, separuh pakaiannya sudah tiada. Beg pakainan yang terletak di bahagian bawah almari juga tiada. Nia perhatikan keliling bilik. Nia tidak perasaan semua ini semasa dia masuk ke dalam bilik mengerjakan sembahyang zohor dan asar. Kemudian baru dia ternampak sekeping sampul surat diselit di cermin meja solek using yang terletak di sudut bilik.

Nia segera membuka surat itu dan membaca isi kandungannya. Tangannya mengeletar semasa membaca surat itu. Darah sejuk mengalir keseluruh tubuh badannya. Apa yang dia syaki rupanya benar-benar telah berlaku.


Kak Nia,

Ani terpaksa lakukan ini, Ani tidak sanggup dikahwinkan dengan Zaril Ikhwan. Jangan risau tentang Ani. Ani pergi bersama Sazali. Doakan agar kami bahagia. Ani minta maaf kerana tidak dapat membuat pengorbanan ini untuk keluarga kita kali ini.


Adik,

Ani Ayuni

0 comments: